Khamis, 17 Januari 2008

Bila Sudah Besar

"Kenalkan ini tunang gua, saja hantar ke bus stand ni ha"

"oh! gila la lu dah bertunang!...wei Mat Tar apa cerit ha? tak tau apa jadi kat dia..."

"Ntah la wei. gua pun memang nak cari dia balik beb."

"Perggghh...lama gila tak dengar khabar mamat tu. Entah hidup entahkan mati huhu"

"Jom lepak sembang sembang...lama tak jumpa lu sial! aku belanja minum! hahaha"

"Alamak Nobe, tak boleh beb. wa dah janji nak pergi Tangkak ambil barang ah...lain kali la beb. gua call."

"Ye la, ye la...sibuk macam perdana mentari pulak lu..aduh mak!"

"Hahahaha. ok beb. chow!...kahwin jangan lupa ajak tau muahahaha..."

Dialog di atas adalah diantara saya dengan kawan lama. Kawan baik yang paling awal pernah saya pernah ada; Nizam. Kami begitu akrab sewaktu di sekolah rendah dulu. Selalunya kami bertiga. Seorang lagi ialah Tarmizi. Masing-masing nama panggilannya ialah Nobe dan Mat Tar. Ke mana saja mesti bertiga. Waktu persekolahan atau luar waktu persekolahan, kami sering dilihat bersama. Sempat jugalah berkoloborasi membuat komik. Kartun dilukis mengikut jalan cerita kami bertiga. Difotostat dan di edarkan kepada rakan kelas lain. Ala ala zine.

Mat Tar dan Nobe jugalah sebenarnya penyebab utama saya terikat dengan dunia rock & roll. Bermula dengan siulan mesra The Man Who Sold The World (oleh David Bowie dan dipopularkan oleh Nirvana di awal 90an) sewaktu di dalam kelas, Mat Tar sering menunjukkan skecth book nya yang berisi gambar-gambar Kurt Cobain. Mulanya tidak begitu menarik bagi saya kerana pada waktu itu, saya sering disuapkan dengan The Beatles, The Who, The Door, Bad Company, Uriah Heep, Deep Purple dan lain-lain lagi koleksi ayah saya. Tetapi apabila Nobe mempengaruhi saya untuk melihat semula iklan minuman ringan pada masa itu, di mana seorang anak gadis sedang melihat ke rooftop mencari-cari arah datangnya bunyi gitar elektrik. Kemudian, lelaki berambut paras bahu, berpakaian kemeja kotak-kotak dan berseluar lusuh serta berkasut snickers Converse hitam high cut dipaparkan sedang terlompat-lompat 'melayan' alunan strumming nya. Imej grafik yang diperlihatkan selama lebih kurang 1 minit lebih itu cukup membuatkan saya terpinga-pinga. Sama ada faham dengan tak faham. Yang penting ianya cool!. Ya, cool. Dan ketika itu jugalah saya rasa buat pertama kalinya memahami erti kata 'COOL'.

Tamat darjah 6, kami terpisah kerana bersekolah ditempat yang berasingan. Pada awalnya masih ada hubung-menghubungi. Kemudian keadaan berubah. Mungkin kerana pembudayaan di sekolah baru membuatkan kami terlupa akan keakraban persahabatan kami. Sedar-sedar, Mat Tar sudah hilang entah ke mana, Si Nobe kemudiannya berpindah ke Johor Bharu.

Kami tak mungkin dapat seperti dulu lagi.

Tiada ulasan: